'Keris Suluh Hati' - Antara Keris-Keris Terbilang Negeri Terengganu
0 ulasan Dicatat oleh Terengganu 3M di 5:56 PTGTelah dikisahkan bahawa di negeri Terengganu terdapat tiga bilah keris yang terbilang dan sangat baik buatannya. Walaupun tidak dapat dipastikan siapakah pembuatnya namun nama-nama keris yang dimaksudkan tersebut adalah 'Keris Suluh Hati', 'Keris Teluk Ketapang' dan 'Keris Lidah Jin'. Salah satu keistimewaan ‘Keris Suluh Hati’ sebagaimana yang diceritakan ialah pihak yang menggunakan keris itu dapat (dengan Izin Allah s.w.t.) mengalahkan serta menumbangkan lawannya hanya dengan mengajukan hujung keris tersebut ke arah pihak lawan.
Di ceritakan bahawa keris ini telah dijumpai di Kampung Ladang oleh seorang Dato' yang ingin menggali sebuah perigi. Apabila pekerjanya masuk sahaja untuk menggali perigi tersebut, tiada lagi kedengaran akan ia membuat kerja dan keadaan terus senyap sepi. Apabila ditarik orang tersebut keluar, didapati orang tersebut telah mati dan badan orang tersebut telah bertukar menjadi warna kebiru-biruan. Setelah di hantar seorang lagi untuk masuk mengantikan orang sebelumnya, keadaan yang sama telah berlaku sebagaimana sebelumnya dan perkara yang sama turut berlaku kepada orang yang ketiga dan ini telah menyebabkan Dato' tersebut ingin masuk kedalam perigi itu sendiri untuk menyiasat hal sebenar yang berlaku.
Namun sebelum sempat Dato' tersebut masuk ke dalamnya, beliau telah dicegah oleh hulubalangnya yang memperingatkan kepada beliau bahawa hulubalang beliau masih ada untuk mengerjakan perkara itu. Setelah dibenarkan oleh Dato’ tadi maka hulubalang beliau masuk ke dalam perigi tadi. Tidak lama kemudian, hulubalang tersebut telah naik ke atas dengan membawa sebilah keris dan memberitahu tuannya bahawa keris tersebutlah yang telah menyebabkan beberapa pekerja tadi mati semasa hendak menggali perigi. Keris tersebut seterusnya telah dipersembahkan oleh Dato’ tadi kepada Almarhum Baginda Umar.
Di kisahkan juga pada suatu ketika yang lain tidak lama setelah Itu, telah datang Raja Muda Riau ke Terengganu yang dalam penyamarannya sebagai rakyat biasa. Pada suatu hari, Baginda telah berjalan-jalan di Kampung Losong dan telah berbalah dengan seorang Megat dari Losong tersebut dan hendak bertikaman. Raja Muda Riau telah meminta untuk ditangguhkan perlawanan antara mereka pada suatu masa yang lain (pada masa dahulu, perkara meminta untuk ditangguhkan perlawanan adalah suatu perkara biasa).
Raja Muda Riau seterusnya telah menghadap ke bawah Duli Almarhum Baginda Umar untuk meminjam ‘Keris Suluh Hati’. Diceritakan bahawa Almarhum Baginda Umar terkejut bagaimana Raja Muda Riau itu mengetahui bahawa keris tersebut berada dalam simpanan Baginda. ‘Keris Suluh Hati’ itu telah di perkenankan oleh Almarhum Baginda untuk dipinjamkan kepada Raja Muda Riau.
Dengan Izin Allah s.w.t. berbekalkan dengan ‘Keris Suluh Hati’ yang telah dipinjamkan kepadanya itu, Raja Muda Riau tadi telah dapat menggalahkan Megat Losong pada hari perlawanan yang telah dipersetujui oleh mereka berdua. ‘Keris Suluh Hati’ itu tadi seterusnya telah dihadiahkan oleh Almarhum Baginda Umar kepada seorang Raja dari negeri yang lain di Tanah Melayu (ketika itu) dan masih dalam simpanan Istana Negeri yang mana keris itu dihadiahkan kepada Rajanya tadi.
SUMBER DARIPADA Y.M. TG BAKAR (DALAM KOTA)
Cerita darihal Cik Peh Cik Neh bukan sahaja telah diceritakan oleh penduduk setempat sahaja di mana ianya berlaku, iaitu di Kampung Nibung, Kuala Terengganu malahan cerita ini turut menjadi lagenda kepada penduduk dari tempat-tempat lain di sekitar Kuala Terengganu. Cik Peh digambarkan sebagai orang yang kebal dan tidak lut oleh senjata dan matinya adalah akibat difitnah. Cik Peh menurut ceritanya adalah seorang pendekar yang telah berkhidmat sebagai hulubalang Raja disuatu ketika dahulu. Akibat ada dikalangan orang Istana yang cemburukan nya, maka orang-orang tersebut telah memfitnah Cik Peh kepada Raja (tidak dapat dipastlikan zaman perintahan Sultan yang mana yang telah menghukum Cik Peh).
Menurut ceritanya lagi, Haji Mat Salleh bersama-sama dengan empat puluh Budak Raja telah diperintahkan untuk menangkap serta menjalankan hukuman bunuh tersebut. Haji Mat Salleh sebenarnya merupakan seorang yang handal bersilat dan adik seguru dengan Cik Peh serta kawan baik kepada Cik Peh dan hanya berbuat demikian atas perintah Raja. Haji Mat Salleh memikir panjang cara-caranya bagaimana beliau handak menangkap Cik Peh agar dapat menjalankan perintah itu. Beliau kemudiannya telah mengambil segulung tali pengikat kerbau bersama dengannya dan terus pergi untuk berjumpa dengan Cik Peh.
Apabila Cik Peh ternampak akan Haji Mat Salleh, beliau terus menanyakan Haji Mat Salleh akan tujuannya hendak kemana. Haji Mat Salleh menjawab mengatakan bahawa beliau sedang mencarikan lembu beliau yang telah hilang. Cik Peh kemudiannya telah memanjat pohon kelapa untuk mengambil buah kelapa buat diminum bersama dengan Haji Mat Salleh (kerana pada zaman dahulu masih tiada kopi untuk dihidangkan untuk tetamu). Sambil minum, Haji Mat Salleh mengintai budak-budak Raja yang ketika itu bersembunyi berhampiran dengan kawasan itu. Sesudah minum. Haji Mat Salleh meminta diri untuk meyambung pekerjaannya mencari lembunya yang konon-kononnya telah hilang itu.
Bilamana Cik Peh menghulur tangannya untuk bersalaman dengan Haji Mat Salleh sahaja, Haji Mat Salleh terus menyambar tangan Cik Peh untuk menangkapnya, Sambil bergelut untuk beberapa ketika, budak-budak Raja yang bersembunyi itu telah datang menerkam untuk menangkap Cik Peh. Cik Peh telah ditangkap kerana bilangan yang datang secara tiba-tiba itu terlalu ramai. Cik Peh telah dipenjarakan dalam penjara kurungan untuk dipersembahkan kepada Raja. Selama tempoh kurungan, Cik Peh tidak makan atau minum dan banyak menitiskan air mata kerana terlalu sedih akan perbuatan adik segurunya yang telah sampai hati menangkapnya.
Mengikut ceritanya lagi, hukuman ke atas Cik Peh telah dijalankan di Tanjung Batu Satu. Haji Mat Salleh yang diperintahkan untuk menjalankan hukuman mati ke atas Cik Peh itu tidak dapat membunuh Cik Peh samada dengan cara menembak, menikam atau pun menetak Cik Peh dengan senjata tajam. Kerana sakit hati akan perbuatan Haji Mat Salleh tidak memberi dia makanan atau minuman dan melihat akan kesungguhan Haji Mat Salleh hendak membunuhnya maka akhirnya Cik Peh telah memberitahu rahsia serta cara-cara kalau hendak membunuhnya iaitu dengan cara menyula dengan hujung daun nipah yang tajam. Apabila diperlakukan sebagaimana cara yang telah diberitahu tadi maka dengan izin Allah s.w.t. barulah Cik Peh berjaya dibunuh. Selepas itu jenazahnya telah disemadikan di Kubur Besar, Jalan Panji Alam.
Satu kejadian aneh yang diceritakan oleh penduduk setempat ialah batu nesan Cik Peh hidup dan kian membesar dari masa ke semasa. Sebab penduduk tersebut memanggilnya Kubur Cik Peh Cik Neh adalah kerana adik Cik Peh iaitu Cik Neh turut ditanam berdekatan dengan kubur Cik Peh. Pada dahulunya pernah terdapat alur dimana air jernih tidak berhenti mengalir melalui kubur tersebut. Ada pendapat yang mengatakon bahawa air tersebut telah datang dari sebuah bukit kecil (yang kini sudah diratakan) yang berhampiran dengan tempat perkuburannya.
SUMBER CERITA DIPEROLEHI DARIPADA:
Haji Musa Bin Abdullah (Haji Musa)
- Kg, Kubur Kecil, Panji Alam
Syeikh Hussein Bin Syeikh Puteh (Pak Syeikh)
- Kg. Nibong Atas
Haji Ali Bin Mat
- Kubur Besar, Kg. Nibong
Langgan:
Catatan (Atom)